Kuala Selangor projek rintis SARANG Ekonomi Desa

KUALA SELANGOR: Kuala Selangor terpilih untuk projek rintis Program SARANG Ekonomi Desa dalam usaha meningkatkan ekonomi masyarakat desa secara menyeluruh yang bercirikan bimbingan dan pemudahcaraan.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail, berkata program selama enam bulan bermula bulan ini memberi manfaat kepada 55 kampung dan penduduk sekitar daerah berkenaan.

 

“Untuk program ini, kita memilih Kampung Kuantan yang terletak dalam Mukim Pasangan kerana ia terkenal dengan pusat pelancongan kelip-kelip serta menjadi lokasi utama program.

“Sasaran jumlah permohonan program ialah seramai 100 hingga 200 penduduk, namun hanya 50 peserta sahaja dipilih menjalani program ini,” katanya pada sidang media di Pejabat Daerah Kuala Selangor di sini, hari ini.

Rodziah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga berkata, matlamat program itu diadakan bagi merancakkan ekonomi desa serta mempelbagai kegiatan perniagaan setempat.

“Potensi pendapatan baharu dan tambahan boleh dijana melalui khidmat seperti promosi pelancongan, restoran dan hidangan laut.

“Malah, penginapan, cenderamata dan kraf tangan kampung, mampu memberi manfaat kepada peserta program yang dibimbing,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan program itu bukan sahaja memacu pembangunan luar bandar, malah meningkatkan tahap pendapatan penduduk tanpa perlu berhijrah ke bandar.

“Keberkesanan program ini dilihat secara menyeluruh, khususnya aspek pulangan pelaburan dengan harapan akan diteruskan pada tahun akan datang.

“Tambahan pula, kerajaan negeri komited dalam usaha meningkatkan peratus pendapatan seisi rumah di negeri ini kepada RM6,000 sebulan menjelang 2025, termasuk di kawasan luar bandar.

“Kita berharap program ini dapat direalisasikan dan memberi manfaat dalam peningkatan ekonomi desa melalui penjanaan pendapatan,” katanya.